Wednesday, August 10, 2011

Setulus Kasih Mama..

Sentiasa segar di ingatan saya, sebelum saya Berjaya hamil dulu, Pada Mama lah saya meluah segala perasaan saya,  walaupun Mama saya tak pernah bertanya atau berkata apa-apa tentang perkara itu. Saya rasa, saya lah yang banyak memberatkan fikiran Mama ketika itu. Selalunya Mama akan mendengar dan memberikan kata semangat untuk saya, tak pernah Mama memperlihatkan riak risau di wajahnya. Mungkin Mama tak mahu saya merasa lebih tertekan.

Walaupun begitu, Mama tetap juga membantu saya mencari produk atau rawatan kesuburan. Apa sahaja yang dia terdengar dari sesiapa, ada tempat berubat ini, tempat berurut itu, iklan itu, iklan ini cepat-cepat Mama sampaikan pada saya.  Pernah beberapa tahun sebelum itu, rakan Mama mengerjakan Haji. Selepas rakannya itu pulang dari Haji, Mama menyerahkan sejenis herba seperti daun-daun dan bijian kurma kering untuk saya. 

Malam itu juga dengan penuh semangat dan harapan, saya mengisar bahan-bahan itu. Tapi oleh kerana kurma kering itu agak keras,  walaupun sudah di kisar, ianya masih tidak hancur sepenuhnya. Ketika itu, saya membayangkan, saya mahu hasilnya halus sehalusnya dan bila saya membancuhnya saya boleh menelan semuanya tanpa meninggalkan serdak sedikit pun. Sayang sekiranya serdak yang tertinggal itu adalah bahagian yang paling berkat untuk saya berhasil hamil. Melihatkan harapan saya itu, Mama dengan sabar  membantu saya menumbuk herba yang telah dikisar itu bagi memastikan ianya betul-betul hancur. Berpeluh-peluh kami malam itu, kerana agak sukar sebenarnya nak melumatkan herba kering itu. Bila terasa mesin pengisar yang di guna itu sudah panas, kami menumbuk pula, bila tangan sudah penat berlesung batu, kami kembali semula mengisar.  Kami masing-masing tak bersuara langsung ketika itu dan tiba-tiba entah kenapa, akhirnya saya dan Mama tertawa bersama-sama. Bersungguh-sungguh, geli hati yang amat. Saya tak pasti kenapa kami ketawa sungguh-sungguh ketika itu. Mungkin mengenangkan betapa susahnya diri saya mendapatkan anak sehingga kami sanggup bertungkus lumus dan sanggup buat apa sahaja ketika itu, walaupun kami sendiri tak begitu pasti apakah sebenarnya bahan-bahan yang kami tumbuk dengan bertungkus lumus itu. Terima kasih banyak kepada kawan Mama yang sungguh baik hati membelikan herba tersebut untuk saya. Hanya Allah yang dapat membalas dan memberikan kemuliaan padanya .

Saya juga masih ingat semasa saya bertarung selama hampir 12 jam untuk melahirkan Agharr ketika itu. Ya Allah. Sakitnya. Andainya di beri pilihan, siapa yang saya mahu bersama-sama di dewan bersalin itu, walaupun berjuta-juta kali saya mati dan hidup semula, saya tetap mahu memilih Mama untuk menemani saya di waktu itu. Ketika di situ, saya tak mendengar ibu-ibu yang sedang sakit ingin melahirkan itu menyebut nama suami. Hanya terdengar mereka menyebut nama Allah dan menyebut ibu.. Ya Allah.. Mak.. aduuhh..Mak..Allah.. itu lah yang kerap kedengaran di saat saya di situ.

Semasa midwife yang saya agak lebih kurang bayanya dengan ibu saya datang pada saya mengusap perut saya dan membacakan selawat dan Zikir. Air mata saya mengalir, dan dia memandang saya dan bertanya , Sakit sangat?? Saya diam menggelengkan kepala. Dalam hati saya..Ya..Saya sakit.. tapi memang bukan kerana itu yang membuatkan saya mengalir air mata. Memandangnya ketika itu saya teringat mama. Saya mahukan Mama.. Jika Mama yang mengusap dan berselawat kepada saya ketika itu, saya membayangkan tapak tangan Mama saya yang sangat berkat itu akan memudahkan segala kesukaran yang sedang saya lalui itu. Melihatkan saya tidak menjawab apa-apa, midwife itu tersenyum dan berselawat  beberapa kali sebelum menyambung semula tugasnya untuk menyambut kelahiran bayi lain.

Mama saya mungkin bukanlah sehebat seperti ibu Mithali lain yang pernah bersusah payah membesarkan anak-anak sehingga sanggup berlapar, membanting tulang berpanas terik. Tetapi, sebagai anak perasaan itu tetap sama. Kita juga sama sentiasa memuliakan ibu yang bersusah payah melahirkan, menjaga dengan kasih sayang, melayan segala karenah, tempat bercerita segala suka duka, Menenangkan dan merawat hati  di saat jiwa sengsara.

Melihat senyuman Mama, memandang raut wajah kasih Mama setiap kali bercerita, menikmati hidangan dari air tangan yang penuh dengan kasih sayang,  membuatkan saya hanya melihat syurga padanya. Walaupun kami dah bernikah, walaupun tanggungjawab saya untuk suami. Tetapi kasih sayang dan syurga saya tetap untuk Mama seluruh hayat di dunia hingga akhirat. Mama tetap Ibu Mithali yang terunggul bagi kami.

Semoga Allah Memberikan kepada Mereka Kebahagiaan.. kegembiraan..kesejahteraan di dunia hingga Akhirat..

8 comments:

  1. sedihnya baca cerita mommmy pepagi nih.........

    ReplyDelete
  2. Suka Baca;)
    Tidak ternilai kasih sayang.......

    ReplyDelete
  3. terharu btul dengan entry akak ni. buat air mata sy mengalir laju jer. sebelum sy berjaya hamil, mak sy pun x henti2 usaha untuk memperbaiki kitaran haid sy. apa jer org kata baik, mesti dia akan carik dan bg sy minum/makan. begitu jugak ngan nenek sy. rsa terharu sgt. Alhamdulillah bersyukur sy dikurniakan ibu dan nenek yg sy ada skrg. Alhamdulillah..

    ReplyDelete
  4. Hi Hanidatul, jgn laa sdih.. sesaje je sy nak share cerita..hehehe

    ReplyDelete
  5. Terima kasih Orchid.. ksih ibu bawa ke Syurga, ksih kita selama-lamanya..

    ReplyDelete
  6. Hi Tinie, btul tu..mmg byk pengorbanan mereka pd kita. Bkn setakat msa kcik, kita dah dewasa jd bini org dah ni pun, ksih syg mereka tetap sama kannn.. Alhamdulillah..

    ReplyDelete
  7. nangis baca entry ni.. tersentuh hati zana.. kasih ibu hingga ke syurga..

    ReplyDelete
  8. Salam Zana, Kasih ibu kita hingga ke Syurga.. Kasih kita utk ibu kita selama-lamanya..

    ReplyDelete